mutakhir

Bersauh tanpa kebenaran

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

SEBUAH kapal tangki yang bersauh tanpa kebenaran ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di 5.4 batu nautika Timur Laut Muka Head, Teluk Bahang, Georgetown, malam semalam.

Kapal tangki MT Mekar itu ditahan 8.30 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Maritim Malaysia Daerah Maritim 2 Pulau Pinang ketika melakukan rondaan di perairan negara.

Pengarah Maritim Daerah Maritim 2 Pulau Pinang Laksamana Pertama Maritim Rozali Mohd Said berkata, semasa pemeriksaan dilakukan kapal berkenaan didapati bersauh tanpa kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia.

Beliau berkata, sembilan kru kapal warga Indonesia berusia antara 20 hingga 40 tahun berada dalam kapal berkenaan dan mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (Merchant Shipping Ordinance) MSO 1952 .

"Sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Rozali berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan pemantauan dan rondaan bagi membanteras sepenuhnya aktiviti menyalahi undang-undang di laut.

Jika terdapat sebarang aduan atau kecemasan di laut, orang ramai diminta memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat awam lengkap kepada pihak Maritim Malaysia di talian 24 Jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim DM2 Pulau Pinang 04-2626146.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 8:25pm
d