mutakhir

150 IPT nikmati jalur lebar 100 Gbps [METROTV]

Oleh Mohd Nasif Badruddin

SEBANYAK 150 institusi pendidikan tinggi (IPT) di seluruh negara menikmati jaringan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi 100 Gigabit sesaat (Gbps) menerusi Malaysian Research and Education Network (MYREN-X).

MREN-X, kesinambungan MYREN yang dilancarkan pada 2005 adalah untuk memenuhi keperluan pembelajaran dan penyelidikan secara lestari kepada IPT awam dalam negara.

MYREN pada permulaannya hanya menghubungkan 12 universiti awam (UA), kini menerusi MYREN-X meluaskan lagi rangkaian hubungan sehingga meliputi 150 IPT terdiri daripada 20 UA, universiti swasta (4), Politeknik (31), Kolej Komuniti (85) serta masing-masing lima bagi hospital/fakulti perubatan dan agensi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, menerusi infrastruktur siber MYREN-X, ia bakal melonjakkan kapasiti capaian keseluruhan daripada 260 Gbps kepada 3,200 Gbps atau 3.2 Terabit sesaat dan meningkatkan keupayaan penyimpanan data berskala besar serta keupayaan pemprosesan berkeupayaan tinggi.

Menurutnya, MYREN-X dijangka dapat memacu kecemerlangan penyelidikan dan pendidikan masa depan negara antaranya melalui Penyelidikan Terkehadapan menerusi kolaborasi dengan penyelidik seluruh dunia sebagai usaha untuk menghasilkan saintis negara bertaraf Nobel Laureate.

Katanya, MYREN-X juga bakal mentransformasikan Pendidikan Tinggi Negara supaya bercirikan Pendidikan Abad ke-21 serta bercirikan UBIQUITOUS iaitu pembelajaran bersifat di mana saja dan pada bila-bila masa yang mampu melahirkan sumber tenaga kerja kompetitif dan memenuhi keperluan serta kehendak pekerjaan masa depan.

“€œSaya menyambut baik usaha KPT atas inisiatif penubuhan sebuah konsortium terdiri daripada semua 20 UA dinamakan MYREN Network Sdn Bhd (MNSB) diterajui Universiti Teknologi MARA menerusi UiTM Holdings Sdn Bhd berlandaskan semangat kesepakatan dan kekitaan.

“€œSaya yakin MYREN-X bukan saja akan mempunyai infrastruktur siber yang moden serta serba canggih, bahkan dapat mewujudkan satu ekosistem penyelidikan dan pendidikan yang semakin meluas serta bercitra baharu, seterusnya berupaya menyumbang kepada negara mahupun di peringkat antarabangsa,”€ katanya ketika berucap melancarkan infrastruktur siber jalur lebar berkelajuan tinggi 100 Gigabit sesaat MYREN-X di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalannya Datuk Dr Mary Yap Kain Ching serta Ketua Setiausaha KPT Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur.

MYREN-X akan melonjak pelaksanaan program Kursus Terbuka atas Talian Secara Besar-Besaran (MOOC), JukeBox, Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA), dua tahun universiti dua tahun industri (2u2i) yang dilaksanakan di negara ini di bawah inisiatif 'Redesigning Higher Education'.

Ia bukan saja akan membolehkan rakyat Malaysia mengakses pendidikan di luar negara secara dalam talian, bahkan membolehkan rakyat luar negara mengakses pendidikan di negara ini.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 9:21pm
d