mutakhir

Lancar Dasar Kelestarian Johor Sabtu ini

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak bakal melancarkan Dasar Kelestarian Negeri Johor, Sabtu ini bersempena Ekspo Johor Berkemajuan 2017 yang berlangsung Jumaat hingga 14 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Datuk Ayub Rahmat berkata, dasar itu digubal bertujuan untuk mencapai keseimbangan antara pembangunan pesat Johor dan alam sekitar yang mampan.

Beliau berkata, dengan adanya dasar berkenaan, ia akan memberi Johor peluang untuk menyatakan secara teliti hala tuju dalam menjaga dan memelihara aset semulajadinya.

Katanya, ia juga bagi mengawal pencemaran dan mengetengahkan teknologi hijau serta memastikan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat bergerak selari.

“Dalam agenda pembangunan Johor yang berdaya saing, membelakangkan alam sekitar bukan satu pilihan. Setiap dasar, agenda dan projek di Johor mesti harmoni dengan kepentingan alam sekitar.

“Penggubalan dasar yang komprehensif ini akan memberi hala tuju yang jelas bagaimana kita harus mengurus sumber asli dengan cekap serta memberikan pencerahan tentang pelaburan yang mesti kita lakukan bagi menyokong agenda kelestarian,” katanya.

Menurut Ayub, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk melihat semua pihak bekerjasama dalam merealisasikan matlamat dasar itu apatah lagi isu alam sekitar di Johor sangat berkait rapat dengan pembangunan yang memerlukan keseimbangan antara kepentingan dari sudut ekonomi dan kesannya kepada alam sekitar.

“Sehubungan itu, bagi mencapai pembangunan Johor yang lebih komprehensif yang merangkumi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar, adalah amat penting untuk Johor mempunyai dasar ini.

“Seiring dengan semangat Muafakat Johor, kita semua adalah sebahagian daripada kelestarian ini dan harus berkongsi tanggungjawab secara bersama kerajaan, sektor swasta, pertubuhan sivil, rakyat tempatan mahupun masyarakat antarabangsa,” katanya.

Ayub berkata, bersempena Ekspo Johor Berkemajuan 2017 itu, segala maklumat mengenai dasar itu akan dipamerkan di Pavillion Johor Lestari.

“Antara pengisian di dalam Pavillion Johor Lestari adalah forum alam sekitar, ceramah kesedaran alam sekitar, taklimat mengenai Santuari Dugong, Earth and Sea Observation System (EASOS) dan pelbagai aktiviti lagi,” katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 11:34pm
d