mutakhir

Komuniti maritim Asia

Oleh Siti Salmiah A Hamid

Kuala Lumpur: Malaysia bukan saja bertindak sebagai tempat pertemuan global komuniti maritim malah pertumbuhan industri berkenaan kekal mantap dan kukuh di rantau ini.

Diangkat sebagai platform perniagaan antarabangsa paling komprehensif di negara ini, Ekspo Laut Antarabangsa Malaysia (MIMEX) 2017 mengumpulkan pemain industri tempatan dan antarabangsa yang terbabit secara langsung dalam maritim serta perindustrian luar pesisir.

Lebih 150 pemain industri terkemuka mengambil tempat dalam penganjuran kali kedua ini termasuk agensi kerajaan antaranya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pameran berkenaan mengambil tempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur yang berlangsung sejak semalam hingga 6 Oktober ini.

Penganjuran ini merangkumi pelbagai aspek termasuk keselamatan, pembinaan kapal, pembaikan kapal, perkapalan, kejuruteraan maritim, kejuruteraan dan teknologi luar pesisir serta pelabuhan dan logistik.

Pengurus Unit Satelit Mobil dan Maritim Telekom Malaysia (TM) Shahiruddin Saleh berkata, pameran berkenaan membuka peluang kepada pempamer untuk memperkenalkan produk terkini yang lebih berteknologi.

“TM mengambil peluang untuk memperkenalkan peralatan sistem satelit yang lebih berteknologi selepas sistem Very Small Aperture Terminal (VSAT) yang sudah dikenali.

“Terdapat tiga satelit mobil yang berupaya memenuhi ciri-ciri kegunaan syarikat atau persendirian iaitu Thuraya Services yang sedang digunakan lebih di 110 negara malah turut digunakan di atas kapal.

“Selain itu, kita dikenali menerusi Inmarsat Broadband Global Area Network (BGAN) yang boleh digunakan pada kenderaan bergerak dengan menawarkan perkhidmatan antaranya suara, data (e-mel/Internet/VC/pemindahan data besar), faksimili, ISDN dan SMS.

“Iridium pula memiliki ciri-ciri lasak, teguh dan mudah dikendalikan.

“Semua satelit mobil ini amat berguna di kawasan yang langsung tidak mempunyai signal telefon pintar atau walkie-talkie. Ia juga boleh dibeli atau disewakan menurut terma syarat,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro pada pameran berkenaan.

Pada masa sama, TLDM turut memperkenalkan satu aplikasi Keselamatan, Kesedaran dan Komuniti Maritim (K3M) bagi membantu komuniti maritim sekiranya berdepan ancaman ketika berada di laut.

Sementara itu, Leftenan Komander Nazatul Shiena Mohd Kamarulzaman berkata, aplikasi itu salah satu program di bawah Rakan Maritim (RAKAM) untuk mendekati komuniti maritim dengan lebih meluas.

“Kecanggihan teknologi membolehkan komuniti maritim berinteraksi secara maya selain maklumat yang disalurkan pihak TLDM dan APMM.

“Ia memberi manfaat yang tinggi kepada orang awam terutama golongan nelayan dan operator pelancongan.

“Aplikasi ini antara kegunaannya untuk mengetahui keadaan cuaca dan amaran kecemasan di laut yang memerlukan tindakan segera agensi berkenaan,” katanya.

Katanya, sebagai contoh amaran berlakunya kebakaran kapal di laut diterima oleh pusat operasi sama ada di Lumut atau Putrajaya dari butang SOS pemanggil.

Pusat operasi seterusnya mengumpulkan maklumat bagi menggerakkan bantuan ke kapal berkenaan.

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 9:41am
d