mutakhir

Bincang bersama isu Laut China Selatan

Oleh Siti Salmiah A Hamid

Kuala Lumpur: Malaysia menggalakkan negara yang ada kepentingan ke atas Laut China Selatan melakukan perbincangan untuk kepentingan bersama.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ia bagi memastikan sumber laut di kawasan itu dapat dipulihara segera.

“Kita berkongsi sumber laut yang sama dan adalah lebih baik mewujudkan usaha ke arah pemuliharaan daripada mengeksploitasi hasil bumi,” katanya.

Menurutnya, lautan sebagai pengatur utama iklim global yang menyimpan hampir 30 peratus penghasilan karbon dioksida dan menjadi tuan rumah kepada takungan biodiversiti yang besar.

“Oleh itu, adalah penting langkah-langkah berkaitan lautan yang mampan diambil bagi melindungi dan mengekalkannya, termasuk strategi tindakan nasional, serantau dan global,” katanya pada sidang media di Persidangan Laut China Selatan Institut Maritim Malaysia (MIMA) yang ke-6 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) Laksamana Pertama (B) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor.

Katanya, wujud pertindihan pemilikan di Laut China Selatan yang kini dikawal selia Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa (UNCLOS) 1982 membabitkan isu keselamatan dan hasil laut.

“Persidangan ini sesuai dijadikan medan perbincangan bagi mencari penyelesaian jangka panjang agar negara yang berkongsi sumber perikanan sama dapat menjaga kawasan itu dari kehilangan hasil laut pada masa hadapan.

“Kita berharap apa-apa isu di Laut China Selatan tidak akan berkembang menjadi isu keselamatan yang akhirnya mewujudkan konflik antara negara yang membuat tuntutan,” katanya.

Persidangan yang bertemakan Forging A Shared Future In The South China Sea memberi tumpuan kepada perkembangan geopolitikal di Asia Pasifik seterusnya impak ke atas Laut China Selatan.

Sebanyak 12 pembentangan dan perbincangan dijadualkan berlangsung dalam persidangan ini bermula semalam dan berakhir hari ini.

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 9:46am
d