mutakhir

Padah tak simpan rekod perniagaan

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

SEORANG pemilik syarikat menjual aksesori kereta dan alat ganti kenderaan didenda RM37,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, atas enam pertuduhan gagal menyimpan rekod syarikat seperti dikehendaki oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap pemilik Powertech Cash & Carry, Tang Siew Meng, 47, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mengaku salah ke atas semua pertuduhan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda itu. OKS membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga keenam, OKS didakwa gagal menyimpan dengan selamat rekod yang mencukupi mengenai pendapatan atau kerugian larasan daripada perniagaan iaitu lejer am, lejer jualan, baucer bayaran dan resit penerimaan bagi Tahun Taksiran 2010 hingga 2015 untuk Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (LHDN) tanpa mempunyai alasan yang munasabah.

Bagi kesalahan itu, OKS didakwa mengikut Seksyen 119A(b) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara bagi satu tempoh tidak lebih daripada setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu OKS yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan menanggung keluarga.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa daripada LHDN, Mohd Shafuddin Hasan memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal ke atas OKS.

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 2:05pm
d