mutakhir

Geng samun jongkong emas disambung reman [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

ENAM daripada lapan suspek kes samun jongkong emas dan barang kemas bernilai lebih RM1 juta di Jalan Siram, Butterworth pada 25 September lalu disambung reman selama tujuh hari lagi selepas tempoh reman tujuh hari sebelum ini tamat, hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Butterworth Ahmad Faiz Md Zain selepas dipohon pihak polis bagi melengkapkan siasatan kes itu.

Semua suspek diiringi polis ketika meninggalkan kompleks mahkamah sejurus permohonan untuk menyambung tempoh reman diperolehi.

Semua suspek ditahan di Johor pada 29 September lalu.

Sebelum ini, sekumpulan lima lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun sempat menjual satu jongkong emas sebelum diberkas polis pada 29 September susulan kes samun tujuh jongkong dan barang kemas seberat 11 kilogram (kg) di kilang emas itu.

Suspek sudah menjual satu jongkong emas kepada seorang individu yang sedang diburu polis dengan harga RM150,000 sebelum dua daripada mereka dicekup di Cheras, Kuala Lumpur manakala baki enam lagi ditahan di Johor dan polis berjaya memperoleh semula dua jongkong emas dicuri itu.

Semua suspek termasuk tiga wanita yang juga isteri kepada suspek itu ditahan dan direman sehingga 5 Oktober sebelum disambung reman lagi bermula semalam.

Dalam kejadian 9.45 pagi, 25 September lalu, dua pekerja kilang emas yang membawa beg berisi jongkong dan rantai emas diserang tiga perompak bersenjatakan kapak dan tukul manakala seorang lagi perompak berada di dalam kereta.

Pada ketika itu, mangsa dikatakan mahu membawa jongkong dan rantai emas itu ke sebuah kilang emas di Kuala Lumpur dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda, namun dirompak individu tidak dikenali.

Melihat keadaan mencemaskan, pengawal keselamatan kilang berkenaan melepaskan empat das tembakan ke arah kenderaan suspek dari tingkat satu bangunan kilang berkenaan, namun ia tersasar.

Keempat-empat suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki Perodua Bezza berwarna merah sebelum kenderaan mereka ditemui di sebuah pangsapuri dekat Ampang Jajar, Permatang Pauh dalam keadaan but belakangnya remuk serta terdapat kesan tembakan di cermin penumpang belakang dan bumbung kereta.

Berita berkaitan

Dah jual satu jongkong

[UPDATE] Jumpa kereta penyamun [METROTV]

10 Kg jongkong emas lesap

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 3:46pm
d