mutakhir

Maut langgar pokok

Oleh Rosliza Mohamed

BURUH maut selepas kereta dipandunya terbabas melanggar pokok dalam kejadian di Kilometer 16.5 Jalan Melawi-Kuala Besut, Pasir Puteh, pagi tadi.

Dalam kejadian 9.54 pagi itu, mangsa Asmadi Daud, 32, mengalami kecederaan pada anggota badan, maut di tempat kejadian.

Mayat dibawa ke Hospital Tengku Anis (HTA), Pasir Puteh untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Deputi Superintendan Abdul Rozak Mohammad berkata, kejadian berlaku apabila kereta jenis Perodua Kelisa yang dipandunya gagal dikawal menyebabkannya terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan.

"Kita dimaklumkan kemalangan itu daripada orang awam dan bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan dan mendapati mangsa dalam keadaan tersepit di tempat duduk.

"Ketika kemalangan, mangsa dalam perjalanan dari Melawi menghala ke Tok Bali, Pasir Puteh, dan mayatnya dibawa ke HTA," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, dalam kemalangan di Kota Bharu membabitkan seorang tentera, Muhammad Nashrul Shah Abdul Halim, 24, apabila keretanya terbabas melanggar pembahagi jalan di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, pada 12.40 tengah hari.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Asisten Superintendan Hamizon Che Harun berkata, kemalangan berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan.

Menurutnya, mangsa yang dalam perjalanan dari Kota Bharu menghala ke Kem 21 Rajimen Askar Diraja Melayu (RAMD), Pengkalan Chepa, tersepit di tempat memandu dan dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk mendapatkan rawatan.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di Wad Kecemasan HRPZ II pada 1.38 petang," katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 5:36pm
d