mutakhir

Boya nyaris ragut nyawa

Oleh Zuhainy Zulkiffli

SEORANG nelayan kerugian kira-kira RM2,500 selepas botnya merempuh boya ketika pulang daripada menangkap ikan pada 1.30 pagi, 23 Julai lalu.

Dia mendakwa, boya atau pelampung dipasang sebagai penanda untuk kapal bagi kerja penambakan laut itu tidak memasang lampu amaran pada waktu malam menyebabkan ia sukar dilihat.

Mohd Maidin Hamid, 63, dari Bayan Baru berkata, bot dinaikinya hanyut pada pagi kejadian dan dalam suasana gelap itu dia terlanggar boya dipasang pemaju, namun keadaan air laut deras menyebabkan pukatnya tersangkut pada boya terbabit.

Bimbang botnya terbalik, Mohd Maidin menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi meminta pertolongan dan terpaksa memotong pukat manakala sebahagian botnya rosak teruk.

Trauma dengan kejadian hampir meragut nyawanya, beberapa hari kemudian, Mohd Maidin membuat aduan kepada pemaju dan hanya diberi ganti rugi sebanyak RM700 sedangkan 10 pukatnya rosak manakala bot pula turut remuk.

"Pendapatan kini tidak menentu selepas kerja penambakan laut dijalankan dan jika dulu kami boleh meraih pendapatan sehingga RM1,600 sebulan, sekarang hendak dapat RM600 sebulan pun susah, malah saya bimbang perkara ini turut mengancam nyawa nelayan lain.

"Perkara ini sudah diadukan kepada Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Kesihatan dan Pembangunan Desa negeri Dr Afif Bahardin, namun masih tiada tindakan," katanya dalam sidang media bersama Sahabat Alam Sekitar (SAM) di Georgetown, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd Maidin turut mewakili nelayan mengadakan bantahan terhadap kerja penambakan laut yang terus mengancam nyawa nelayan ketika menangkap ikan di perairan itu.

Sementara itu, Presiden SAM SM Mohamed Idris berkata, selain menerima aduan nelayan mengenai kemerosotan nilai tangkapan sebanyak 70 peratus di perairan itu, zon tangkapan menjadi sempit menyebabkan sumber perikanan kian pupus.

Beliau berkata, selain itu, sisa lumpur daripada kerja penambakan turut memusnahkan pukat serta mencemarkan air dan perkara itu sudah berlaku di beberapa projek tambak seperti di Tanjung Tokong, Sungai Gelugor, Batu Uban dan Persiaran Gurney.

"Ancaman lebih buruk akan berlaku ke atas kehidupan nelayan, persekitaran pesisir pantai dan marin sekiranya kerajaan negeri meneruskan projek tambah laut Penang South Reclamation (PSR) di bahagian selatan pulau yang membabitkan pembinaan tiga pulau buatan manusia seluas 1.8 hektar (4,500 ekar).

"Justeru SAM menggesa supaya kerajaan negeri membatalkan segera cadangan bagi melaksanakan projek tambak laut di negeri itu," katanya.

Laporan Penilaian Kesan ke atas Alam Sekitar (EIA) projek PSR menyatakan pada 2015, terdapat 2,757 nelayan berlesen beroperasi di zon impak projek manakala harga borong ikan di darat di kawasan kajian EIA pada tahun sama dianggarkan bernilai RM42.09 juta, menyumbang kepada 12.4 peratus daripada keseluruhan nilai harga borong.

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 7:51pm
d