mutakhir

MRT alami gangguan isyarat

Oleh Mazizul Dani

RAPID KL memohon maaf kepada pengguna Transit Aliran Massa (MRT) yang terjejas selepas perkhidmatan itu mengalami gangguan sejak petang tadi.

Menurut pengendali Facebook (FB) rasmi Rapid KL, tren bergerak perlahan disebabkan gangguan isyarat.

"Kami berdepan isu isyarat antara Stesen Kwasa Damansara dan Phileo Damansara. Tren akan bergerak perlahan apabila menghampiri stesen yang terjejas.

"Terima kasih atas maklum balas anda dan pasukan kami sedang melakukan yang terbaik untuk perbetulkan sistem isyarat secepat mungkin. Minta maaf atas sebarang kesulitan," kata Rapid KL di FB.

Katanya, tren menghala ke Kajang bergerak seperti biasa manakala yang menghala ke Sungai Buloh bergerak lebih perlahan.

Laman FB dan Twitter Rapid KL petang tadi di hujani pertanyaan daripada pengguna perkhidmatan yang dilancarkan sejak 16 Disember tahun lalu untuk fasa pertama.

"Sistem isyarat lagi! selalu terjadi apabila waktu hujan. MRT perlu lihat perkara ini dengan serius. Saya tertanya-tanya bagaimana kestabilan sistem isyarat ini. Hanya setengah tahun beroperasi tetapi selalu bermasalah," tulis Phong Choon Chey di FB.

Shahrul Tami berkata, pengumuman yang dibuat di stesen tidak terlalu jelas ketika memaklumkan mengenai masalah berkenaan.

"Pengumuman sistem (audio) MRT memang teruk ke? Yang buat pengumuman memang bercakap perlahan dan tidak jelas? Sekarang suruh keluar di (Stesen) Bandar Utama tetapi tiada kakitangan yang membantu," katanya.

Perkhidmatan MRT fasa kedua meliputi Stesen Muzium ke Kajang dilancarkan pada 17 Julai 2017.

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 10:45pm
d