mutakhir

Pemimpin kanan WARISAN antara tiga ditahan SPRM

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

PEMIMPIN kanan Parti Warisan Sabah (WARISAN) antara tiga individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, berhubung siasatan penyelewangan dana kementerian di Sabah.

Dua lagi individu yang ditahan SPRM adalah pemilik syarikat pembinaan berusia 52 tahun dan bekas timbalan setiausaha di sebuah kementerian, yang berusia 40 tahun.

Sumber yang rapat dengan SPRM berkata, semua suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan pejabat SPRM Sabah hari ini.

"Suspek pertama berusia 52 tahun ditahan di pejabat SPRM Sabah pada jam 8.45 malam tadi.

"Suspek kedua iaitu pemimpin kanan Parti Warisan Sabah iaitu yang juga ahli perniagaan pula ditahan di pejabat SPRM Sabah pada jam 6.40 petang.

"Suspek ketiga berusia 40 tahun ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 8.15 malam tadi," katanya.

Sumber itu berkata, SPRM akan membawa suspek ditahan Sabah untuk permohonan perintah reman di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, esok.

Hari ini SPRM menyita RM29 juta lagi dalam siasatan terbaharu mengenai penyelewangan dana dalam sebuah kementerian di Sabah.

Semalam, lebih RM150 juta wang tunai dirampas dalam operasi yang dijalankan oleh pegawai penyiasat di 15 buah lokasi di Sabah.

Ia didedahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad dalam ucapannya sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan kali ke-9 di Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, SPRM masih belum mendedahkan nama kementerian berkenaan.

Disiarkan pada: October 5, 2017 @ 10:59pm
d