mutakhir

Hab ikan air tawar, udang galah

Oleh Zulfa Mohamad

TIGA pangkalan nelayan di Tasek Gelugor bakal menjadi hab ikan air tawar dan udang galah apabila program fasa kedua projek dilaksanakan sepenuhnya termasuk penyediaan inap desa untuk pelancong.

Ketika ini, tumpuan diberikan kepada usaha meningkatkan hasil sungai dengan melepaskan benih ikan dan udang galah selain menyediakan kemudahan bot bagi membolehkan pelancong menyelusuri sungai.

Tiga pangkalanbakal dibangunkan ialah Kampung Chegar membabitkan Sungai Korok/Air Hitam Dalam, Pangkalan Tambang dan Labuh Banting.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya berkata, peningkatan hasil sungai bukan saja akan meningkatan pendapatan nelayan, malah turut akan menarik perhatian lebih ramai pelancong domestik.

"Kita mahu wujudkan kegiatan menangkap ikan seperti di Sungai Tembeling, Pahang. Justeru itu, benih ikan dilepaskan dalam tempoh tertentu bagi memastikan kegiatan nelayan berterusan.

"Selain ikan air tawar, Sungai Korok/Air Hitam Dalam bakal menjadi hab udang galah selain pelancong boleh melihat burung dari serata dunia di Hutan Pendidikan Air Hitam Dalam," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan 75,000 benih ikan lampam sungai, baung dan siakap putih di Pangkalan Kampung Chegar, hari ini. Turut sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua Muhamad Yusoff Mohd Noor, ADUN Permatang Berangan Datuk Omar Abdul Hamid dan Pengarah Perikanan Pulau Pinang Noraisyah Abu Bakar.

Ia sempena pelepasan benih ikan ke perairan umum serentak di seluruh negara yang dicatatkan dalam Malaysia Book of Records.

Shabudin turut menyerahkan elaun sara hidup RM200 seorang kepada 26 daripada 92 nelayan sungai.

Sementara itu, Noraisyah berkata, sehingga Ogos tahun ini, pihaknya sudah melepaskan 479,800 ekor benih ikann dan udang galah bernilai RM82,438 sekali gus melebihi sasaran 300,000.

Menurutnya, purata benih ikan dilepaskan di perairan umum di negeri ini ialah antara 3,000 dan 5,000 kilogram (kg)/ sebulan manakala purata pendaratan ialah 20 hingga 40 kg bagi ikan baung dan 300 hingga 500 kg/sebulan (lampam).

Ends

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 12:29am
d