mutakhir

Syor tubuh lembaga jaga kepentingan pesawah

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Kerajaan diminta menambah peruntukan subsidi benih padi menerusi Bajet 2018 bagi mengelakkan petani dibebani harga tinggi yang dikenakan pembekal.

Pengerusi Bela Tani, Mohd Subri Said berkata, masalah harga benih padi yang mahal sejak kebelakangan ini jelas membebankan petani yang selama ini banyak bergantung kepada harga subsidi.

“Petani bukan saja terpaksa membayar mahal untuk membeli benih padi mengikut harga pembekal malah perlu juga menampung kos lain seperti membajak, menuai serta menyelenggara sawah.

“Keadaan itu jelas membebankan petani dan kami berharap supaya kerajaan dapat mengkaji semula kaedah pengurusan serta menambah peruntukan subsidi tahun depan menerusi Bajet 2018,” katanya.

Sementara itu, Mohd Subri berkata, sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan saranan mewujudkan semula sebuah lembaga khas bagi membela nasib petani (penanam padi) di negara ini.

Katanya ini kerana tanaman komoditi lain seperti koko dan getah mempunyai lembaga sendiri yang menguruskan kepentingan petani tanaman berkenaan.

“Dulu kita mempunyai Lembaga Padi dan Beras Negara namun selepas Padi Beras Nasional (BERNAS) diswastakan, ia dibubarkan,” katanya.

“Lembaga berkenaan sepatutnya diwujudkan kembali kerana BERNAS adalah sebuah syarikat yang tertumpu kepada perniagaan saja berbanding fungsi Lembaga yang menjaga kepentingan petani.

“Kami yakin, jika ia diwujudkan semula pasti akan memberi banyak manfaat kepada petani,” katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 8:38am
d