mutakhir

'Tunggu hingga siasatan lengkap'

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Putrajaya: Program pemeriksaan pendawaian elektrik secara percuma anjuran GiatMARA membabitkan pusat tahfiz di seluruh negara hanya akan dilaksanakan selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melengkapkan laporan pemeriksaan keselamatan terhadap institusi itu yang dijangka selesai sebelum akhir bulan ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sudah mengarahkan pihak bomba untuk melakukan pemeriksaan terhadap ciri keselamatan di setiap pusat tahfiz di negara ini.

“JBPM melihat ciri keselamatan keseluruhan sebagai contoh dari aspek pintu dan tangga, jadi kita akan menunggu hasil siasatan berkenaan yang difahamkan akan siap sebelum akhir bulan ini.

“Selepas itu, ia (hasil laporan) akan diserahkan dan mana-mana yang kita sudah janji dari segi pendawaian semula, kita akan buat,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan wang sumbangan kepada waris mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, semalam.

Pada majlis berkenaan, wang tunai RM230,043 merangkumi sumbangan peribadi Ismail Sabri, pegawai dan kakitangan jabatan serta agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah disampaikan kepada waris dan pengurusan pusat tahfiz berkenaan susulan kejadian kebakaran sebelum ini.

Ismail Sabri berkata, laporan pemeriksaan keselamatan pusat tahfiz akan diserahkan terlebih dahulu kepada jawatankuasa khas dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk diteliti.

“Kita akan lihat laporan itu selepas beliau (Ahmad Zahid) menelitinya terlebih dahulu. Jika diserahkan kepada GiatMara semuanya (kerja pendawaian) pun kita sanggup buat kerana dari awal dahulu dalam kenyataan saya, kita boleh melakukannya secara percuma.

“Selain itu, kita bukannya kontraktor dan GiatMARA adalah institusi pendidikan kerajaan yang tidak melihat kepada keuntungan,” katanya.

Pada masa sama, beliau difahamkan, ada beberapa kementerian lain turut berminat untuk membantu melaksanakan kerja pendawaian di pusat tahfiz di negara ini.

Pada 14 September lalu, Ismail Sabri dilaporkan berkata, program pemeriksaan pendawaian elektrik secara percuma anjuran GiatMARA akan diperluaskan ke pusat tahfiz dan rumah anak yatim seluruh negara berbanding kediaman luar bandar ketika ini.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 9:06am
d