mutakhir

Pemilik syarikat aksesori kenderaan didenda RM37,000

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Seorang pemilik syarikat menjual aksesori kereta dan alat ganti kenderaan didenda RM37,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas enam pertuduhan gagal menyimpan rekod syarikat seperti dikehendaki Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap pemilik Powertech Cash & Carry, Tang Siew Meng, 47, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas mengaku salah ke atas semua pertuduhan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan OKS dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan. OKS membayar denda.

Mengikut pertuduhan pertama sehingga keenam, OKS didakwa gagal menyimpan dengan selamat rekod mencukupi berkenaan dengan pendapatan atau kerugian larasan daripada perniagaan iaitu lejer am dan jualan, baucer bayaran serta resit penerimaan bagi Tahun Taksiran 2010 hingga 2015 untuk Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (LHDN) tanpa mempunyai alasan munasabah.

Bagi kesalahan berkenaan, OKS didakwa mengikut Seksyen 119A(b) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara bagi satu tempoh tidak lebih daripada setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu OKS yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman ringan atas alasan menanggung keluarga.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa daripada LHDN, Mohd Shafuddin Hasan memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal ke atas OKS.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 9:36am
d