mutakhir

'Kenapa hantar abang, ibu salah"

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, Kuala Lumpur memberi tamparan amat hebat kepada Nik Mohd Imran Nik Azalan, 11, kerana kehilangan seorang abang yang juga sahabat baiknya.

Abangnya, Nik Muhammad Ridzuan, 12, adalah antara 21 pelajar yang terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar pada 14 September lalu.

Ibunya Hartini Abd Ghani, 48, berkata, Nik Mohd Imran dan abangnya Nik Muhammad Ridzuan dihantar ke pusat tahfiz berkenaan lebih setahun lalu.

Katanya, sepanjang di pusat tahfiz itu, keperluan dan penjagaan diri anak bongsunya itu termasuk memakaikan baju dan kasut dan mandi diuruskan abangnya.

“Walaupun dia tidak berada di pusat tahfiz ketika kejadian kebakaran itu, tetapi dia sangat trauma sebab kebakaran menyebabkan dia kehilangan kawan-kawan dan yang paling terkesan abangnya juga sudah tiada.

“Malah, dia lebih banyak berdiam diri dan sering menonton video kejadian kebakaran berkenaan sehingga kini,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan kepada keluarga dan pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, Kuala Lumpur di Kompleks Seri Perdana, di sini, semalam.

Hartini berkata, ketika kejadian anak bongsunya Nik Mohd Imran tidak berada di pusat tahfiz berkenaan kerana tidak mahu kembali ke situ selepas cuti sakit selama dua hari selepas Aidiladha lalu.

Menurutnya, selepas cuti sakitnya tamat, dia enggan kembali ke pusat tahfiz terbabit walaupun didesak berkali-kali, malah pada malam sebelum kejadian dia turut mengikutnya menghantar jubah dan serban untuk abangnya di pusat tahfiz berkenaan, tetapi hanya duduk di dalam kereta.

“Sekarang, bila kita tanya (mengenai abang) dia selalu kata “kenapa hantar abang, ibu salah.” Itu yang kerap diulang.

“Kami sudah menghantarnya untuk menghadiri sesi kaunseling yang dikendalikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL), tetapi mungkin mengambil sedikit masa untuk pulih,” katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 9:43am
d