mutakhir

Hari terakhir hantar anak

Oleh Nur Saliawati Salberi

Melaka: “Pengorbanan ibu membesarkan kami adik-beradik akan saya ingat buat selama-lamanya. Semalam (kelmarin) kali terakhir dia menghantar kami ke sekolah,” kata Haida Humaira Syakir, 15, anak kepada mangsa kemalangan maut di Bukit Duyong, di sini, kelmarin.

Haida Humaira berkata, dalam kejadian jam 5 petang, ibunya, Zarinah Sani, 44, maut di lokasi kejadian selepas kereta Perodua Myvi dipandu wanita itu bertembung dengan Proton Preve.

Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, sejak bapa mereka bekerja di Arab Saudi, arwah ibunya bertanggungjawab menguruskan keluarga terutama menghantar dan mengambil mereka dari sekolah.

Menurutnya, dia dan adik-beradik lain juga berasa terkilan kerana perancangan untuk berkumpul dengan semua ahli keluarga termasuk arwah ibu dan bapanya dengan bercuti di Turki tidak kesampaian.

“Ibu memang tidak sabar untuk bawa kami adik-beradik bercuti ke Turki, malah Isnin lalu dia belikan baju sejuk untuk kami berenam, memang sedih kerana dia pergi buat selama-lamanya.

“Ibu langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, rutin hariannya sama, sebab itu kami sukar untuk terima kenyataan ibu meninggal dunia dalam kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka, di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Akibat kejadian itu, kereta mangsa bertembung dengan Proton Preve dipandu seorang wanita dari arah bertentangan. Pemandu Proton Preve luka di bibir dan mengadu sakit dada. Dia dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan,” katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 9:58am
d