mutakhir

Apa? Seleweng RM180 juta

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

SEORANG wanita yang juga bekas Timbalan Setiausaha Bahagian sebuah kementerian direman enam hari bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana hampir RM180 juta di sebuah kementerian.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Aida Khairuleen Azli di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini, selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek yang berusia 40 tahun itu antara tiga individu yang ditahan semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dia ditahan di ibu pejabat SPRM, 8.15 malam tadi.

Dua lagi yang ditahan semalam di pejabat SPRM Sabah membabitkan pemimpin kanan Parti Warisan Sabah dan ahli perniagaan sebuah syarikat pembinaan berusia 52 tahun.

SPRM setakat ini sudah membekukan akaun bank hampir RM180 juta milik lebih 10 syarikat di Sabah bagi membantu siasatan kes penyelewengan itu.

Isu penyelewengan dana itu didedahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad pada ucapannya sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan kali ke-9 di Kuala Lumpur, semalam.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 11:43am
d