mutakhir

'Tiada kaitan dengan jemaah haji'

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

KEJADIAN kluster Mumps (beguk) kembali dikesan di Putrajaya namun, siasatan mendapati jangkitan itu tiada kaitan dengan jemaah haji yang baru kembali dari menunaikan haji.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya Dr Zainudin Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima makluman mesej tular jangkitan itu pada Selasa lalu yang mengaitkannya dengan jemaah haji yang baru kembali dari menunaikan haji.

Beliau berkata, pihaknya mengesahkan bahawa kes-kes jangkitan berkenaan tidak ada kaitan langsung dengan jemaah haji yang baru kembali dari Makkah atau Madinah, sebaliknya mendapati mangsa tiada imuniti untuk mencegah jangkitan Mumps.

"Setakat hari ini (semalam), seramai 17 orang membabitkan kanak-kanak dari dua buah sekolah di sini dijangkiti Mumps. Semua pesakit adalah stabil dan sudah mendapat rawatan pesakit luar.

"Susulan kejadian itu, aktiviti pendidikan kesihatan dipertingkatkan kepada semua murid dan guru sekolah berkenaan. Malah, taklimat berkenaan situasi semasa penyakit berjangkit di sekolah-sekolah sekitar Putrajaya sudah diberikan kepada Guru Besar dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah oleh Pejabat Kesihatan Putrajaya dengan kerjasama Jabatan PendidikanWilayah Persekutuan Putrajaya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pihaknya ingin memaklumkan bahawa kejadian kluster Mumps dalam kalangan pelajar di sebuah sekolah di Putrajaya mula dilaporkan pada 25hb Julai lalu.

Dr Zainudin berkata, penyakit Mumps disebabkan oleh jangkitan virus Paramyxovirus dimana pesakit akan mengalami demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, hilang selera makan dan bengkak serta sakit di kelenjar parotid (kelenjar air liur).

Menurutnya, ia boleh tersebar melalui titisan cecair pernafasan dan air liur serta melalui sentuhan objek yang tercemar dengan cecair pesakit.

"Namun, pesakit biasanya akan sembuh sepenuhnya selepas dua hingga tiga minggu.

"Penyakit Mumps ini boleh dicegah dengan memberikan vaksin tiga serangkai iaitu Measles-Mumps-Rubella (MMR) yang mula dilaksanakan sejak 2002. Bermula April 2016, vaksin ini diberikan sebanyak dua kali iatu pada usia sembilan bulan dan satu tahun," katanya.

Katanya, liputan imunisasi yang melebihi 95 peratus dalam kalangan bayi di dalam satu lokaliti akan melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti virus ini justeru, amat penting kepada semua ibu bapa memastikan bayi mereka menerima vaksin pada masa yang ditetapkan.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 6:29pm
d