mutakhir

Pakej lebur duit

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

IMPIAN 105 pelabur ingin bergelar jutawan kosmetik lebur apabila pulangan lebih 100 peratus dan bonus emas yang dijanjikan selepas lebih tiga bulan membuat pelaburan Skim Pelaburan Krubal (Komuniti Rangkaian Usahawan Global) oleh Syarikat Exorbitance Influence Sdn Bhd) tidak diperoleh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, semua laporan yang diterima dibuat di JSJK Pulau Pinang membabitkan kerugian RM788,901.50.

Susulan laporan yang diterima, polis menahan dua lelaki berusia 34 dan 46 tahun serta wanita, 30 tahun di lokasi berasingan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, semalam.

"Modus operandi dengan menawarkan pelaburan barangan kosmetik menerusi kumpulan WhatsApp dan laman sosial Facebook (FB) dan mengambil deposit daripada mangsa untuk dilaburkan dalam syarikat Exorbitance Influence Sdn Bhd (KRUBAL).

"Mereka menawarkan lima pakej pelaburan serendah RM350 hingga RM55,000. Bagi pakej asas 1, 2, 3, pelabur perlu membayar RM350 hingga RM2,350, manakala pakej Deluxe (RM5,350), VIP (RM10,350), VVIP (RM25,350) dan Presiden (RM55,350)," katanya.

Katanya, pelabur dijanjikan pulangan tinggi melebihi 100 peratus selepas tiga bulan dan hadiah emas seberat 25 hingga 100 gram mengikut pakej ditawarkan.

"Pelabur yang tidak menerima pulangan dijanjikan membuat laporan polis untuk siasatan lanjut. Dianggarkan 1,500 hingga 2,000 pelabur sudah menjadi mangsa skim ini.

"Dalam serbuan itu, polis merampas empat kenderaan mewah, satu tablet, tiga komputer riba dan pelbagai dokumen syarikat termasuk buku cek serta fail," katanya.

Katanya, ketiga-tiga suspek akan direman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 6:39pm
d