mutakhir

Cayalah Nithiyaa

Oleh Zuhainy Zulkiffli

KEBERANIAN dan kemampuan menyelam ke dasar laut di perairan berhampiran gunung berapi aktif membuktikan penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) dari Bayan Baru, Georgetown, N Nithiyaa, 30, bukan calang-calang wanita.

Sifat ingin tahu mengenai keadaan perairan itu mendorongnya terus kekal di dalam air dan mencari sampel diinginkan bagi membuat kajian.

Penuntut Pusat Pengajian Sains Biologi USM itu berkata, pengalaman berharga itu diraih ketika melakukan kajian mengenai tahap keasidan air laut di perairan berhampiran gunung berapi di Pulau Weh, Acheh, Indonesia pada 2011 bersama lima rakan pasukan penyelidik USM.

Katanya, tiada pengalaman menyelam pada kedalaman lapan meter, dia secara tidak sengaja memijak pasir di bahagian hidrotermal di dasar laut berkenaan yang didapati amat panas.

"Bayangkan saya terpaksa kekal mengapung diri demi mengelak daripada terkena pasir di lautan berkenaan, namun airnya tidak begitu panas cuma bau sulfurnya agak kuat.

"Seperti mahu menjerit dan menangis kerana teruja melihat keindahan buih gas tercetus daripada aktiviti gunung berapi itu dan tiada satu pun hidupan laut kelihatan di situ," katanya yang meneruskan kajian terbabit sehingga 2015.

Nithiyaa kini aktif dalam kerja penyelidikan marin dan terbaru, dia bersama 50 penyelidik dari USM dan pelbagai agensi giat mengadakan penyelidikan gugusan Pulau Songsong, Yan, Kedah menerusi Ekspedisi Highland To Ocean (H2O) Songsong-Jerai 2017, di bawah kelolaan Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) universiti terbabit.

Pelajar tahun akhir Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang perubahan iklim dan karang itu berkata, daripada penyelidikan terbabit mendapati air laut berhampiran gunung berapi mempunyai nilai keasidan rendah dan rasa masam manakala karang pula mati dan berubah menjadi warna putih.

Beliau berkata, sehingga 10 meter daripada pergunungan itu, barulah terdapat hidupan seperti ikan buntal dan menakjubkan apabila ikan terbabit seakan 'mengiringi' pasukan penyelidik berkenaan untuk keluar dari perairan terbabit.

Menurutnya, ia adalah sebahagian daripada pengalamannya dan berharap mampu mendidik masyarakat dalam menjaga alam sekitar berikutan terdapat banyak perairan pantai sudah tercemar dengan sampah dan bahan kimia.

"Melalui kajian, kami mendapati kulit kerang di lautan semakin menipis akibat pencemaran dan ia menyukarkan tumbesaran kerang manakala ikan pula lebih cenderung memakan mikrobioplastik

"Biasanya, bukti kajian dibuat penyelidik hanya dikeluarkan pada waktu tertentu saja, tetapi saya mahu ia diuar-uarkan kepada orang ramai dengan harapan dapat mendidik mereka mengenai perairan laut.

"Agak sedih mendapati hidupan cantik di dasar lautan mati dan pupus akibat kerakusan manusia," katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 6:40pm
d