mutakhir

Eh... tinggal rangka aje

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEBANYAK 38 rangka mesin slot dan mesin simulator dirampas dalam dua serbuan di Wisma Sentral, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, malam ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, seramai 20 anggota dan empat pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi terbabit dalam operasi berkenaan yang membuat serbuan di enam lokasi sekitar daerah ini.

"Antara lokasi serbuan adalah diWisma Sentral Jalan Ampang, dua lokasi di Jalan Setiawan, Jalan Lumut, Kompleks Elektronik Ace, Jalan Pasar Baru dan Jalan Loke Yew.

"Dalam serbuan di Wisma Sentral, kami menemui 38 rangka yang ditinggalkan oleh sindiket judi dalam talian yang dipercayai melarikan diri beberapa jam sebelum serbuan dilakukan," katanya.

Katanya, semua rangka terbabit dirampas dan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim mengumumkan pihaknya menubuhkan jawatankuasa khas bagi membanteras aktiviti perjudian dalam talian di negara ini pada 27 September lalu.

Beliau berkata, jawatankuasa yang dikenali Jawatankuasa Pembanteras Perjudian itu akan menjalankan operasi dan pendakwaan ke atas premis perjudian di seluruh negara.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 11:25pm
d