mutakhir

Dua ada 'barang', lain kosong

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEBANYAK 115 premis judi dalam talian di sekitar Kuala Lumpur digeledah dalam Operasi Waran Geledah (Op Waran Geledah), malam semalam

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, operasi bermula 8 malam itu membabitkan 35 pegawai dan 175 anggota dari lima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu Dang Wangi, Cheras, Brickfields, Wangsa Maju dan Sentul.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya dua premis di daerah Dang Wangi iaitu di Jalan Ampang dan Chow Kit masih menyimpan mesin simulator dan komputer yang digunakan untuk judi dalam talian, manakala selebihnya kosong.

"Sebanyak lapan mesin simulator, empat monitor, tujuh unit pemprosesan pusat (CPU) dan 55 papan kekunci dirampas dalam serbuan di kedua-dua premis berkenaan," katanya pada sidang media di IPD Dang Wangi.

Alzafny berkata, pihaknya memperoleh waran geledah daripada mahkamah terhadap 115 premis judi dalam talian berkenaan pada Rabu lalu .

"Berdasarkan maklumat orang awam dan risikan dilakukan, kami mendapati 115 premis ini dipercayai aktif menjalankan operasi walaupun serbuan dilakukan setiap hari.

"Disebabkan itu, kami memohon waran geledah untuk melakukan pemeriksaan bagi memastikan premis berkenaan menghentikan kegiatan itu sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memohon waran geledah terhadap premis yang dipercayai masih menjalankan kegiatan judi dalam talian di sekitar Kuala Lumpur.

"Kami mengambil pendekatan ini sebagai tindakan agresif dan proaktif dalam usaha membasmi kegiatan judi dalam talian di bandaraya ini.

"Justeru, kami akan memohon waran geledah kepada mahkamah terhadap premis yang dipercayai menjalankan kegiatan itu dan tidak menolak kemungkinan premis yang sudah digeledah akan diperiksa semula sekiranya didapati masih beroperasi," katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2017 @ 2:42am
d