mutakhir

Maut langgar lori buat pusingan U

Oleh Junaidi Ladjana

LELAKI, 28, maut selepas kereta dipandunya melanggar lori yang membuat pusingan U di Batu 7, Jalan Tuaran, Inanam, Kota Kinabalu, malam semalam.

Dalam kejadian 11 malam itu, mangsa, Joerinnus Wasil yang memandu kereta Proton Wira meninggal dunia di tempat kejadian.

Pemandu lori berusia 25 tahun tidak cedera.

Difahamkan, sebelum kejadian lori jenis Nissan dari arah Kota Kinabalu menuju ke Gardenia Food Industries Inanam dan apabila tiba di lokasi kejadian lori berkenaan membuat pusingan U.

Mangsa yang berada di jalan utama dari arah Manggatal dipercayai gagal mengelak lori terbabit lalu merempuh bahagian belakang tepi sebelah kiri.

Berikutan pelanggaran itu, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan dikeluarkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas sebelum disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kota Kinabalu (HWKK) Likas.

Pegawai Penyiasat, Inspektor Ngang Ak Kalimpot dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Disiarkan pada: October 7, 2017 @ 3:10am
d