mutakhir

Sudah nasib

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Rembau: Hasrat seorang lelaki meminta bantuan selepas terbabit kemalangan berakhir tragedi apabila maut dirempuh sebuah teksi di Kilometer 242, Lebuhraya PLUS, arah utara dekat Senawang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa Muhammad Syahmie Mohd Azman, 21, memandu Perodua Myvi dalam perjalanan dari arah Melaka ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Rembau Deputi Superintendan Ibrahim Shariff berkata, mangsa memandu di lorong kanan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar pembahagi jalan.

“Mangsa yang cedera dikatakan cuba keluar meminta bantuan. Namun, sebuah teksi jenis Toyota Innova dari arah sama dipercayai tidak menyedari kelibat mangsa kerana keadaan jalan gelap lalu merempuhnya.

“Akibat rempuhan itu, mangsa melambung dan tercampak di tengah jalan. Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, semalam.

Bagaimanapun, katanya, pemandu teksi dan penumpang tidak cedera.

Ibrahim berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban, untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: October 7, 2017 @ 5:17am
d