mutakhir

Rakam percakapan 35 saksi

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Seramai 35 saksi sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes bunuh dua anggota dan dera dua lagi anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan pada 29 September lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, setakat ini, jumlah suspek yang ditahan bagi kes itu masih tujuh orang membabitkan anggota TLDM yang bertugas di pusat tahanan berkenaan.

Menurutnya, semua saksi itu membabitkan anggota TLDM dan juga beberapa orang awam.

“Saksi yang dirakam percakapan termasuk lapan tahanan yang turut ditahan dalam tempoh kejadian.

“Polis juga merampas 57 barang kes dan dihantar ke Jabatan Kimia selain menunggu laporan forensik siasatan di tempat kejadian, unit pemprosesan pusat (CPU) dan kamera litar tertutup (CCTV), perubatan dan kimia yang semuanya dalam tindakan serta sedang diproses pakar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Peringkat Negeri Perak 2017 di Dewan Banquet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.

Pada majlis berkenaan, 228 penerima menerima pingat yang disampaikan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Mohamad Fuzi berkata, polis membuka dua kertas siasatan iaitu mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan.

“Dalam tempoh kejadian terdapat 10 tahanan dengan dua daripadanya meninggal dunia dan daripada baki lapan tahanan hanya dua tampil membuat laporan polis kerana didera dan dicederakan.

“Semua tahanan terbabit ditahan kerana kesalahan mengikut Akta Angkatan Tentera 1972, Kaedah-Kaedah Acara-Acara Angkatan Tentera (Penjaraan Dan Tahanan) 1976, Perintah Majlis Angkatan Tentera Bil 4 Tahun 1982,” katanya.

Katanya, polis menjalankan siasatan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum diserah kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut dan ada kemungkinan semua tujuh suspek akan disambung reman.

Dalam kejadian 29 September lalu, dua Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, yang ditahan di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi, Sitiawan dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas, keletihan dan muntah.

Disiarkan pada: October 7, 2017 @ 5:26am
d