mutakhir

Seludup lalu laut

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

Sandakan: Seorang juragan warga Filipina ditahan kerana cuba menyeludup empat wanita ke negara ini melalui jalan laut di Batu 3, dekat sini, malam kelmarin.

Juragan berusia 20 tahun bersama empat pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia 14 hingga 38 tahun itu ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan, jam 8.30 malam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kemasukan sekumpulan individu dari Filipina ke daerah ini.

“PPM Sandakan kemudian menjalankan pemantauan dan mengesan sebuah bot laju yang mencurigakan bergerak dari arah laut cuba memasuki Sungai Batu 3, di sini.

“Bot peronda kemudian menghampiri bot itu dan memperkenalkan diri sebagai polis.

“Namun juragan bot memecut laju meskipun beberapa kali diarahkan untuk berhenti menyebabkan anggota mengejar dan berjaya memintas bot berkenaan,” katanya, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot laju itu menemui empat wanita warga Filipina.

“Hasil pemeriksaan lanjut turut menemui satu beg sandang milik juragan berisi wang berjumlah RM350 dan matawang peso 12,500 (RM996) disyaki hasil daripada upah membawa masuk migran terbabit.

“Soal siasat mendapati juragan dan empat wanita itu mengakui masuk ke negara ini dengan niat melalui laluan yang tidak diwartakan,” katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke markas operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Bot jenis kayu dan enjin bernilai RM16,000 itu turut dirampas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 55A (1) Akta Imigresen 1959/1963 dan Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2017 @ 5:43am
d