mutakhir

Reman 5 hari

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

LIMA individu termasuk dua penolong jurutera Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)

direman lima hari di Mahkamah Majistret Klang, hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dan rasuah berkaitan tiga projek pembaikan dan pemasangan lampu jalan, tahun lalu.

Perintah reman itu dikeluarkanPenolong Pendaftar Mahkamah Majistret Klang, Azimah Mohd Yusof.

Kelima-lima individu itu tiba di mahkamah 8 pagi tadi dan mereka direman sehingga Rabu ini.

Mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar Klang, semalam.

Dua penolong jurutera itu adalah dari Jabatan Kejuruteraan MPAJ.

Difahamkan, mereka dipercayai memperakui kerja siap berhubung kerja segera bagi pemasangan lampu di beberapa lokasi di Ampang tahun lalu namun kerja itu sebenarnya tidak dilaksanakan.

Sumber berkata, dalam kes pertama Februari lalu, penolong jurutera berusia 35 tahun dikatakan memperakui kerja penyelenggaraan yang dilakukan syarikat kontraktor elektrik dengan nilai RM19,500.

Menurutnya, bayaran sudah dibuat kepada syarikat kontraktor itu namun kerja berkenaan tidak dilakukan.

"Siasatan mendapati wang itu disalurkan ke akaun syarikat lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan seorang daripada suspek," katanya.

Dalam kes itu, turut ditahan adalah dua individu masing-masing berusia 32 tahun.

Sementara itu dalam kes kedua, penolong jurutera berusia 34 tahun dikesan turut memperakui kerja siap bagi dua projek membaiki kerosakan lampu jalan di Ampang antara Jun hingga November 2016.

Menurut sumber, antara Oktober hingga November 2016, suspek memperakui kerja siap berhubung projek membaiki kerosakan lampu jalan di dua lokasi yang masing-masing berjumlah RM19,600 dan RM19,500.

"Antara Jun hingga Julai 2016, penolong jurutera ini turut memperakui kerja siap berhubung pemasangan lampu jalan di sekitar Dusun Bandar Taman Kosas, Ampang berjumlah RM19,700.

"Kedua-dua bayaran itu sudah dibuat kepada syarikat kontraktor elektrik tetapi siasatan mendapati ia disalurkan kepada satu lagi akaun syarikat milik jurutera itu," katanya.

Sumber berkata, dalam kes itu, seorang lagi individu berusia 43 tahun ditahan.

Menurutnya, pelbagai beg berjenama mewah bernilai hampir RM57,000 ditemui dalam rumah milik seorang daripada suspek.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Wan Ramli Wan Abdullah ketika dihubungi semalam mengesahkan penahanan berkenaan.

Berita berkaitan:

Lampu jalan pun korang bikin 'masyuk'

Disiarkan pada: October 7, 2017 @ 1:33pm
d