mutakhir

Bazar Kenaf pertengahan Oktober ini

Oleh Ismail Muhamad

BAZAR Kenaf yang berasaskan jualan produk kenaf pertama diwujudkan di negara ini yang akan beroperasi di Kelantan pada pertengahan Oktober ini.

Ketua Pengarah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Samsudin Noor berkata, bazar berkenaan akan beroperasi di Dataran Kenaf Kubang Kerian, setiap Selasa.

"Konsep Bazar Kenaf yang diperkenalkan LKTN menepati matlamat merakyatkan kenaf kepada masyarakat setempat.

"Bazar ini bukan sahaja menjadi pusat urus niaga jualan produk berasaskan kenaf yang dihasilkan peserta tetapi membuka peluang kepada peniaga menjual makanan dan minuman," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Kenaf dan Bazar Kenaf di Dataran Kenaf Kubang Kerian, Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKTN, Idris Mohd Salleh dan Pengarah Pemasaran LKTN, Tan Eng Nee.

Samsudin berkata, bazar itu akan beroperasi pada 4 petang hingga 11 malam, manakala jualan makanan dan minuman sepanjang hari.

Beliau berkata, konsep Bazar Kenaf akan diperluaskan ke Batu Bertangkup Chuping, Perlis dan Pekan, Pahang dalam masa terdekat.

Katanya, usahawan kenaf dan peniaga tempatan boleh memanfaatkan kewujudan bazar berkenaan bagi memasarkan produk jualan mereka.

Dalam pada itu katanya, LKTN akan mengadakan Hari Kenaf pada setiap Khamis bertujuan menyebarkan maklumat mengenai industri kepada masyarakat setempat sebagai usaha mempromosikan kenaf.

"Bagi menyokong promosi, satu galeri kenaf akan diwujudkan di pekarangan Ibu Pejabat LKTN di Kubang Kerian untuk dijadikan sumber rujukan masyarakat.

"Industri kenaf berkembang dengan nilai jualan kini hampir RM3 juta dan jumlah itu dijangka meningkat kepada RM6 juta pada tahun depan dengan pembabitan sektor swasta," katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2017 @ 5:27pm
d