mutakhir

1,700 bubur asyura diagih

Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

MENGGUNAKAN kelapa pandan antara resepi istimewa yang menjadi perhatian dalam pertandingan memasak bubur asyura di Program Jalinan Mesra Asyura anjuran Pergerakan Wanita Umno Bahagian Permatang Pauh di pekarangan surau Kampung Tanjung Putus, hari ini.

Walaupun tidak dinobatkan johan, namun resepi yang diilhamkan Pergerakan Pemuda UMNO Permatang Pauh yang memperuntukkan lima biji kelapa pandan itu berjaya menggamatkan suasana program berkenaan, sekali gus 'mencabar' resepi 17 kumpulan daripada Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh pada pertandingan itu.

Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Permatang Pauh, Rosni Salleh berkata, program berkenaan adalah acara tradisi tahunan yang mendapat kerjasama dan tajaan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.

Beliau berkata, hampir 300 orang terbabit dalam program itu yang bermula dari jam 8 pagi dan berakhir jam 1 petang yang memperlihatkan kerjasama berpasukan selain mengeratkan tali silaturrahim dalam kalangan penduduk setempat.

"Sebanyak 1,700 pek bubur asyura diagihkan kepada penduduk selain turut diberikan kepada golongan yang kurang bernasib baik terutamanya anak-anak yatim.

"Kumpulan daripada PDM Sama Gagah berjaya menjadi johan dalam pertandingan ini membawa pulang hamper dan wang tunai, diikuti naib johan daripada Guar Perahu dan Kampung Belah Dua," katanya.

Sementara itu, Pengerusi PDM Sama Gagah, Zaliaha Abdul berkata, resepi yang dinamakan Asyura Serbuk Beras itu berjaya membuahkan hasil, sekali gus mengutip mata 86 peratus untuk dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan itu.

Zaliaha berkata, selain menggunakan serbuk beras yang mampu membangkitkan bau wangi dan secukup rasa, penggunaan jagung segar antara kekuatan dalam resepi berkenaan.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, program itu diadakan sempena menyambut kedatangan bulan Muharam yang bukan sahaja diadakan di peringkat UMNO Bahagian, malah dijayakan di peringkat cawangan dalam kawasan Permatang Pauh.

Beliau berkata, pembabitan 17 PDM yang mengambil bahagian mendapat sambutan yang cukup membanggakan dan diharap ia dapat diteruskan bagi membentuk kerjasama dan silaturrahim sesama mereka.

Disiarkan pada: October 7, 2017 @ 8:18pm
d