mutakhir

Terbaiklah SAU 2017

Oleh Nor Farhani Che Ad

LEBIH 50,000 anak muda membanjiri tapak Amanjaya Mall, Sungai Petani sempena Program Santai Anak Utara 2017 (SAU 2017), hari ini.

Program itu mengumpulkan penunggang motosikal terdiri daripada anak muda di seluruh Kedah dan tiga negeri utara yang lain.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Mad Hanipah berkata, sasaran awal program ini adalah seramai 30,000 peserta, bagaimanapun, jumlah itu melebihi daripada jangkaan awal iaitu melebihi 50,000 penunggang motosikal hadir pada program kali ini.

Katanya, program yang dianjurkan bersama Gabungan Anak Utara itu adalah kali kelima diadakan yang bermula pada 2013 di Pantai Merdeka.

"Dalam program ini, anak muda bukan sahaja dapat berjumpa dan berkenalan antara satu sama lain, mereka juga berkesempatan mendapatkan nasihat serta bertukar pandangan antara satu sama lain," katanya.

Ahmad Bashah turut meluluskan penganjuran itu dilakukan di lokasi dan tarikh yang sama pada tahun hadapan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan sentiasa memandang serius dalam isu berkaitan kegiatan lumba haram dan merempit dengan mewujudkan sebuah litar lumba di negeri itu.

"Kita tak mahu anak muda ini menjadikan jalan raya sebagai tempat berlumba sebaliknya sebuah litar lumba diwujudkan oleh kerajaan di negeri Kedah bagi golongan muda membabitkan diri dalam sukan bermotor," katanya.

Sementara itu, 62 gerai pameran dan jualan turut dibuka kepada pengunjung selain aktiviti cabutan bertuah dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM195,000 terdiri daripada 12 motosikal Yamaha Y15 dan 125ZR, topi keledar dan jam tangan.

Disiarkan pada: October 7, 2017 @ 9:17pm
d