mutakhir

SPRM dah kenal pasti 32 individu

Oleh Norasikin Daineh

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengenal pasti 32 individu untuk membantu siasatan berhubung penyelewengan dana sebanyak RM1.5 bilion membabitkan projek pembangunan luar bandar di Sabah.

Menurut sumber, SPRM dijangka mengambil kenyataan daripada individu berkenaan.

Difahamkan, hampir semua daripada 60 syarikat yang dikenal pasti melaksanakan projek luar bandar menerusi peruntukkan RM7.5 bilion antara 2010 hingga 2016 di Sabah juga sudah disiasat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki bagaimanapun berkata, sehingga kini, tiada tangkapan atau rampasan baru dibuat berhubung kes berkenaan.

Katanya, pihaknya akan membuat lebih banyak tangkapan tetapi enggan mendedahkan jumlah individu yang dijangka akan ditangkap.

SPRM sudah menahan reman tiga individu termasuk Naib Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Peter Anthony, seorang ahli perniagaan berusia 52 tahun dan seorang lagi wanita berusia 40 tahun yang juga bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Infrastruktur Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Ia bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Disiarkan pada: October 7, 2017 @ 11:22pm
d