mutakhir

Larian warna-warni

Oleh Nursyahirah Marzuki

LEBIH 2,000 peserta menyertai Larian Malam UV Hospital Columbia Asia sempena Bulan Kesihatan Kanser Payudara atau 'Pink Oktober' di Cyberjaya hari ini.

Acara bermula jam 8 malam itu dimulakan dengan senaman zumba sebelum larian pada jam 8.30 malam membabitkan dua kategori iaitu tiga dan 10 kilometer (km).

Suasana sekitar kawasan Taman Tasik Cyberjaya bertukar meriah apabila setiap peserta yang menyertai acara itu memakai gegelung 'glow in the dark' berwarna-warni.

Pengurus Besar Kawasan 1 Hospital Columbia Asia Engku Marina Engku Hatim berkata, larian kali ketiga dianjurkan pihaknya itu adalah satu daripada langkah untuk membantu Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penyakit kanser berkenaan.

"Ini adalah kali pertama kami melaksanakan larian amal pada waktu malam untuk memberi sedikit kelainan kepada peserta dan penyertaan mereka juga meningkat berbanding sebelum ini.

"Kanser payudara adalah berkait rapat dengan wanita dan kita gembira apabila mengetahui rakyat Malaysia memberi sokongan penuh kepada kesedaran mengenai penyakit ini," katanya ketika ditemui pada Larian Malam UV di Cyberjaya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Asia Tenggara Syarikat Kumpulan Columbia Asia Kelvin Tan dan Presiden BCWA Ranjit Kaur.

Dalam pada itu, Engku Marina berkata, melalui larian amal berkenaan, pihaknya menyumbang kira-kira RM20,000 kepada tabung BCWA untuk menjalankan pelbagai aktiviti kesedaran terutama dalam pendidikan dan program kemasyarakatan.

Sementara itu, Kelvin berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha pelbagai pihak yang tampil untuk memberi kesedaran mengenai penyakit kanser payudara.

"Kadar peratusan kesedaran mengenai kanser payudara dalam kalangan masyarakat juga dilihat semakin meningkat malah mereka turut melakukan saringan awal.

"Oleh itu, penganjuran program seperti ini bukan saja dapat mengumpul dana tetapi turut membantu orang ramai untuk mengetahui lebih lanjut mengenai penyakit kanser ini," katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2017 @ 11:30pm
d