mutakhir

Seorang maut, 3 cedera

Oleh Zairee Mohd Yasak

"Ingatkan bas berhenti tiba-tiba sebab melanggar pokok, tetapi ada kereta tersangkut di depan bas," kata Anne Regina, 36, antara empat penumpang bas yang menyaksikan kemalangan di Jalan Merlimau-Jasin, semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, pemandu Proton Persona, R Gugan, 26, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka manakala tiga penumpang kereta terbabit cedera.

Anne berkata, bas ekspres yang dalam perjalanan ke bandar Jasin itu baru berhenti menurunkan beberapa penumpang di bandar Merlimau sebelum kejadian itu berlaku.

"Ketika bas baru melepasi kawasan Politeknik Merlimau, pemandu bas terbabit menekan brek secara tiba-tiba sebelum bas bergegar kerana melanggar sesuatu di hadapan.

"Kami ingatkan bas terlanggar pokok. Apabila kami ke depan bas, kami nampak bahagian hadapan kereta termasuk ke bawah bas," katanya.

Menurut Anne lagi, tiga mangsa yang cedera dibawa ke hospital oleh orang awam yang berada di tempat kejadian sementara pemandu kereta dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.

"Siasatan awal pihak kami mendapati kereta Proton Persona yang datang dari arah Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah Jasin (AMJ) yang menuju ke Merlimau hilang kawalan ketika menaiki jalan berbukit sebelum merempuh bahagian hadapan bas.

"Pemandu kereta terbabit meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital sementara tiga penumpang kereta cedera di kepala dan badan dirawat di hospital sama," katanya, ketika dihubungi.

Menurut Arshad, mayat mangsa dituntut ahli keluarga sebaik selepas dimaklumkan mengenai kejadian terbabit.

Katanya, kedua-dua kenderaan terbabit dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 12:35am
d