mutakhir

Sambung reman 7 hari

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Reman tiga suspek kes bunuh dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bilik Tahanan Unit Sungai Wangi di Sitiawan disambung tujuh hari lagi.

Suspek berusia 29, 37 dan 44 tahun itu ditahan 30 September lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid membenarkan ketiga-tiga lelaki terbabit dilanjutkan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 14 Oktober bagi membantu siasatan.

Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap warna jingga dan ungu tiba di Mahkamah Majistret Seri Manjung jam 8.50 pagi dengan menaiki trak polis sebelum keluar sejam kemudian.

Dalam kejadian 29 September lalu, dua anggota TLDM yang ditahan di bilik tahanan berkenaan iaitu Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Laskar Kelas 1 Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru dipercayai akibat didera.

Selain itu, dua anggota lain yang cedera masing-masing berusia 30 tahun juga dipercayai didera di pusat tahanan sama dirawat di bilik khas di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Lumut.

Sehingga kini, polis menahan tujuh individu dan semuanya bertugas sebagai pengawal bilik tahanan dengan lima daripadanya disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan berikutan kematian dua anggota pasukan itu.

Kelmarin, reman dua lagi suspek berusia 29 dan 37 tahun yang ditahan mengikut Seksyen 325/506, Kanun Keseksaan dilanjutkan tiga hari lagi bermula semalam.

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 4:35am
d