mutakhir

Selamat budak tiga tahun 'tersesat'

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Kuantan: “Beberapa kenderaan terpaksa brek mengejut apabila melihat kanak-kanak itu berjalan di tengah jalan,” kata Ayu Syahkilla Abd Rashid, 24, yang menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang ‘tersesat’ selepas terpisah dengan ibunya hampir satu jam di Taman Tas, di sini, kelmarin.

Ayu Syahkilla berkata, dia melihat kelibat kanak-kanak lelaki itu ketika berada di tempat kerjanya sebelum bergegas membantu.

Katanya, ketika memegang tangan kanak-kanak itu, dia hanya menangis sebelum dipujuk lalu mengajaknya mencari ibunya, namun gagal.

“Saya kemudian mengajak dia (kanak-kanak itu) makan terlebih dahulu sebelum mencari semula ibunya, namun dia enggan.

“Selang beberapa minit kemudian, ibu kanak-kanak itu datang dengan seorang lagi anaknya sambil memberitahu kanak-kanak itu hilang ketika dia membeli barang di sebuah pasar raya berhampiran,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Menurutnya, ibu kanak-kanak itu memaklumkan mencari selepas menyedari kehilangan anaknya.

Katanya, wanita berkenaan mengucapkan terima kasih kerana menyelamatkan anaknya yang nyaris dilanggar kenderaan.

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 6:40am
d