mutakhir

Rawat sebelum serah tuan baru

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebahagian kucing yang diselamatkan di rumah di Bandar Baru Sentul di sini Rabu lalu kini dirawat di beberapa klinik haiwan di sekitar ibu negara dan Selangor sebelum diserah untuk dipelihara keluarga baru mereka.

Pengerusi Sahabat Kucing Jalanan, Mohd Rosli Mohd Ariffin berkata, kucing itu dipastikan tahap kesihatan mereka termasuk bebas jangkitan virus.

Beliau berkata, sebahagian lagi kucing sihat, kini diletakkan sementara di premis yang menyediakan khidmat hotel kucing.

“Kami juga mendapatkan laporan perubatan daripada beberapa veterinar swasta mengenai tahap kesihatan kucing berkenaan. Bagi kucing sakit seperti dijangkiti virus Sporo, buta dan menghadapi masalah kulit teruk, mereka dipulihkan terlebih dahulu.

“Semua kucing itu diberikan vaksin dan menjalani proses pemandulan sebelum diserahkan kepada tuan baru,” katanya.

Menurut Mohd Rosli, sehingga kini bil perubatan rawatan kucing yang sakit itu dijangka lebih RM6,000.

Rabu lalu anggota Sahabat Kucing Jalanan bersama sepasukan anggota dari Balai Polis Sentul menyelamatkan 46 kucing yang dikurung dan diabaikan di sebuah apartmen di Bandar Baru Sentul.

Langkah itu dibuat berikutan aduan Kelab Pencinta Kucing yang mengesyaki seorang individu mempergunakan kucing itu untuk mendapatkan wang daripada orang ramai.

Lelaki berusia 41 tahun yang juga penganggur itu dipercayai menularkan mengenai keadaan kucing terbabit melalui Facebook untuk mendapatkan sumbangan kewangan, kononnya bagi membeli makanan dan merawat haiwan sakit.

Mohd Rosli memberitahu jumlah sebenar haiwan yang diselamatkan ialah 72 termasuk seekor arnab.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan kucing itu tidak dijaga dengan baik, tanpa diberi makan dan dibiarkan sakit.

“Beberapa pihak berjumpa dan berunding dengan lelaki berkenaan bagi menawarkan khidmat merawat kucing terbabit namun lelaki itu enggan dengan alasan dia hanya mahu wang bagi menjaga kucing itu.

“Kami terus selamatkan kucing terbabit kerana dipercayai lelaki itu pernah mengugut mahu cederakan haiwan berkenaan sekiranya ada pihak cuba merampas haiwan peliharaannya,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 6:45am
d