mutakhir

[UPDATE] Mungkin tekanan perasaan

Oleh Mohd Sabran Md Sani

POLIS tidak menolak tekanan kewangan dan masalah kesihatan isteri dalam jangka lama dipercayai punca kematian empat sekeluarga di rumah mereka di Rini Residence, Mutiara Rini, Johor Bahru, petang kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata isu kematian keluarga terbabit hanya akan terungkai selepas laporan lengkap mengenainya diperoleh.

"Dari segi susulan peristiwa setakat ini, tiada unsur-unsur jenayah lain yang dapat dicungkil dalam kejadian ini.

"Setakat ini polis dapati terdapat dua isu berlakunya kejadian itu iaitu pertamanya masalah tekanan kewangan dan masalah isteri mangsa yang tidak sihat dalam jangka lama," katanya.

Katanya, dalam kejadian itu dipercayai mangsa membunuh tiga ahli keluarganya sebelum membunuh dirinya sendiri dengan cara menggantung diri.

Mengulas lanjut sama ada kes dianggap selesai, katanya, ia perlu laporan lengkap sebelum dapat diputuskan.

"Ya (kemungkinan kes selesai), namun kita perlu tunggu laporan lengkap berkaitan siasatan kes itu.

"Kita sudah buat andaian (punca kematian) dan perlu ada laporan untuk menyokong andaian itu," katanya.

Kelmarin empat sekeluarga ditemui mati dalam kediaman mereka di Jalan Utama 41, Rini Residence, Mutiara Rini, di sini.

Pubalan ditemui mati dalam keadaan tergantung di sebuah bilik di tingkat dua manakala mayat isteri mangsa, P Jeya, 46, ditemui mati dalam keadaan terbaring di atas katil berhampiran ruang tamu.

Dalam kejadian itu anak perempuan yang berusia sembilan tahun dan anak lelaki berusia 14 tahun ditemui mati dengan kesan jerut di leher.

Semua mayat empat sekeluarga itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mati mengejut.

Terdahulu Mohd Khalil merasmikan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sempena Kejohanan Bola Sepak Piala Ketua Polis Negara 2017 di Dewan Dato' Onn Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, pagi ini.

Seramai 32 anggota dan pegawai akan mewakili kejohanan berkenaan dengan diketuai Ketua Pasukan Kontinjen Johor, Inspektor Mohd Shahrul Azlan.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Berita berkaitan:

Empat beranak ditemui mati

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 10:30am
d