mutakhir

Enam wanita positif dadah

Oleh Nasrawati Syarifuddin

ENAM wanita antara 62 individu dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah, ditahan dalam serbuan Antidadah Kebangsaan (AADK) Tawau di dua pusat hiburan, tengah malam tadi.

Pada serbuan bermula 12.30 malam itu, individu yang ditahan berusia antara 18 hingga 46 tahun.

Pegawai AADK Tawau, Abd Ghani Keruput berkata, jumlah tangkapan itu adalah paling banyak direkodkan dalam satu operasi di Sabah pada tahun ini.

"Kita menyerbu dua pusat hiburan di Batu 1, Jalan Kuhara dan Batu 3, Jalan Apas, Tawau.

"Di situ, kita memeriksa dan menjalankan ujian saringan air kencing terhadap 113 individu. Mereka terdiri daripada pengunjung dan pekerja premis berkenaan.

"Hasil daripada ujian air kencing tersebut, 56 lelaki dan enam wanita berusia antara 18 hingga 46 tahun didapati positif pelbagai jenis dadah termasuk syabu, ketamin dan ganja.

"Saya agak terkejut dengan jumlah tangkapan yang begitu tinggi. Lebih daripada 50 peratus orang yang diarah menjalani ujian saringan air kencing, positif dadah," katanya.

Beliau berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke AADK Tawau untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,”€ katanya.

Mengulas lanjut, Abd Ghani berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan sebilangan besar individu terbabit mengambil bahan terlarang itu semasa berada di pusat hiburan berkenaan.

“€œRisiko terdedah kepada pengambilan bahan terlarang semasa berada di pusat hiburan amat tinggi kerana penggunaan dadah adalah salah satu rangsangan untuk mereka berhibur," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mempergiat operasi bersama agensi penguat kuasa lain untuk memastikan pengunjung pusat hiburan bebas daripada penyalahgunaan dadah.

Operasi itu turut membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Imigresen Tawau dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Tawau.

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 5:04pm
d