mutakhir

Peranan penghulu penting

Oleh Mohd Sabran Md Sani

SOKONGAN dan kerjasama penghulu dan penggawa sangat diperlukan dalam usaha memerangi dadah yang menjadi ancaman nombor satu negara terutama membabit jenis Amphetamine Type Stimulant (ATS) seperti syabu, pil kuda dan ekstasi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, paling membimbangkan dadah berkenaan turut menular dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

"Ketika ini kalangan pelajar sudah mula menghisap ganja dan dadah termasuk jenis ATS yang mengandungi bahan kimia untuk elak tidur.

"Penggunaan bahan seperti ini sangat membimbangkan dan pembabitan penghulu dan penggawa penting dalam memastikan kes seperti ini dapat dibanteras," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memberikan Taklimat Keselamatan dan Isu-isu Semasa sempena Persidangan Perwakilan Tahunan Kesatuan Penghulu dan Penggawa Semenanjung Malaysia Kali Ke-43 Tahun 2017 di PERSADA, Johor hari ini.

Kira-kira 300 peserta kalangan penghulu, ketua kampung dan jemputan jabatan hadir pada majlis berkenaan yang bertujuan untuk berkongsi isu keselamatan serta mengadakan mesyuarat agung tahunan.

Beliau berkata kebanyakan pelajar menggunakan dadah untuk berjaga malam terutama bagi mengulangkaji pelajaran pada minggu peperiksaan, malah harga murah RM5 sebiji mendorong penggunaan bahan terbabit.

"Niat mulanya baik, tapi lama kelamaan akan menjadikan individu berkenaan ketagih.

"Tempoh tujuh minggu pengambilan dadah boleh merosakkan otak, manakala proses pemulihan mengambil masa tujuh tahun," katanya.

Mengulas lanjut katanya, kawasan panas dikenal pasti menjadi sarang penagih dadah adalah kawasan perumahan flat, nelayan dan penempatan FELDA.

"Justeru, perlu bagi kesatuan penghulu dan penggawa mengenalpasti kawasan panas yang terdapat di seluruh negara, malah kawasan perumahan kos rendah di Lembah Klang antara tumpuan penagih.

"Antara usaha boleh digerakkan adalah mengatur aktiviti dan kerjasama untuk membanteras dadah di kawasan panas," katanya.

Mengulas lanjut katanya, selain isu penagihan dadah, isu kebanjiran pendatang asing juga memerlukan komitmen penghulu dan penggawa yang menjaga kawasan tadbiran masing-masing.

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 5:15pm
d