mutakhir

Dua lelaki berdepan hukuman gantung

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

DUA lelaki berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang hari ini atas pertuduhan mengedar dadah methamphetamine dianggar seberat 288.519 kilogram.

Mohammad Ishak Ramli, 33, dan Nur Muhammad Izzudin Nordin, 25, mengangguk faham ketika pertuduhan mengikut Seksyen 39 B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibacakan di hadapan Majistret Rabiatul Adawiyah Che Khalid.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah itu dalam ruang muatan sebuah treler jenis Volvo di tepi rumah di Kampung Rawai, Bukit Payong, Marang, pada 11 malam, 25 September lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Selain itu, Mohammad Ishak yang juga pemandu treler berkenaan turut didakwa menggunakan harta iaitu sebuah lori treler jenis Volvo dengan niat menjalankan perbuatan aktiviti pengedaran dadah berbahaya yang menjadi kesalahan terjadual mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi, masa dan tarikh sama.

Bagi kesalahan yang didakwa mengikut Seksyen 3 (1) akta sama, Mohammad Ishak berdepan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum Rabiatul Adawiyah menetapkan 12 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan tiada sebarang jaminan ditawarkan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Faizah Nor Randeran.

Media sebelum ini melaporkan polis berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah yang menyembunyikan bahan itu dalam bungkusan teh dan menahan enam lelaki dalam serbuan berasingan di Terengganu dan Pulau Pinang September lalu, membabitkan dadah bernilai hampir RM22 juta

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, enam suspek berusia antara 25 dan 53 tahun ditahan dalam serbuan di Bukit Payong, Marang, dan Georgetown, Pulau Pinang pada 25 September lalu.

Beliau berkata, dua lelaki ditahan di Terengganu bersama 21 guni dan sebuah beg mengandungi dadah jenis syabu seberat 288.5 kg bernilai RM20.2 juta.

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 7:45pm
d