mutakhir

Maut bertembung lori

Oleh Hayati Ibrahim

PEGAWAI Sekretariat Ahli Parlimen Kota Raja, Selangor maut selepas kereta yang dipandu bertembung dengan sebuah lori tanah di Jalan Besar Sungai Pelek menghala ke Tanjung Sepat, Sepang, tengah hari tadi.

Dalam kejadian pada 1.47 tengah hari, mangsa Abd Majid Hasan, 59 maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan dada.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sepang, Azrul Faizal Maariff berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah lori dari arah bertentangan iaitu dari Banting ke Sungai Pelek hilang kawalan akibat masalah teknikal sebelum bertembung dengan Proton Iswara dipandu mangsa.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas di sini bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa.

"Pihak kami mengambil masa 15 minit untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bahagian tempat duduk pemandu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azrul Faizal berkata,kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat," katanya.

Difahamkan, mangsa bertugas sebagai Pegawai Sekretariat kepada Ahli Parlimen Kota Raja, Selangor Dr Siti Mariah Mahmud dari Parti Amanah Negara.

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 8:09pm
d