mutakhir

216 pangkalan hadapan hadapi banjir

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

BANTUAN bekalan makanan untuk menghadapi banjir di Kelantan pada tahun ini akan mula dihantar esok ke pangkalan hadapan di semua jajahan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat berkata, sebagai persediaan menghadapi banjir di Kelantan tahun ini, 216 pangkalan hadapan disediakan.

Katanya, walau bagaimanpun bekalan makanan itu tidak akan dihantar semua ke pangkalan hadapan kerana sebahagiaannya diletakkan di depoh yang dikawal oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Sebanyak 699 pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibuka dengan kapasiti 213,180 mangsa banjir bagi keselesaan dan tambahan akan dibuat oleh pihak pengurusan bencana sekiranya diperlukan.

"Lokasi yang diberi tumpuan adalah Kota Bharu, Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir Mas," katanya ketika ditemui di sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri 2017 di Bilik Gerakan Kompleks Darul Naim, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Pasca Bencana Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Muhammad Yusoff Wazir dan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Zainuddin Hussin.

Mesyuarat diadakan sebagai persediaan terakhir bagi memastikan kesiapsiagaan semua agensi yang terbabit jika berlaku banjir dan turut mendengar taklimat yang disampaikan oleh Jabatan Meteorologi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan JKM.

Mengulas lanjut, Mohd Faudzi berkata, 8,000 penyelamat akan ditugaskan membantu mangsa banjir termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), APM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)

Beliau berkata, jumlah petugas mencukupi dan mereka sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan selain pengalaman yang dilalui ketika menghadapi banjir sebelum ini.

"Berdasarkan taklimat yang disampaikan oleh Jabatan Meteorologi, keadaan cuaca adalah normal seperti tahun lalu dan hujan akan berlaku di kawasan pantai pada November dan pedalaman Disember.

"Kami berharap banjir yang bakal berlaku tahun ini tidak seperti pada 2014," katanya.

Gambar Nik Abdullah Nik Omar

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 8:51pm
d