mutakhir

Wasiat isteri bawa pulang jenazah Shyzlin

Oleh Mohd Sabran Md Sani

“KALAU boleh saya nak makbulkan permintaan arwah isteri membawa pulang Shyzlin Hathaman walaupun sebagai jenazah," kata Shaan Shah Mohd Nasir, 48, ahli keluarga rakyat Malaysia yang meninggal dunia di hospital di Lima, Peru, semalam.

Pengurus Iskandar Water Front Danga Bay, Johor, itu berkata menjadi hajat keluarga arwah Syzlin membawa jenazahnya pulang ke negara ini.

“Ketika hidup, arwah isteri, Norabdah Mahmood, 47, meninggalkan pesan dan wasiat kepada saya supaya berusaha membawa balik sepupunya itu.

“Sebab itu kami berharap usaha dipermudahkan dan arwah dapat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kebun Teh," katanya ketika dihubungi di Johor Bahru, hari ini.

November tahun lalu, BH menyiarkan laporan eksklusif dari Peru, mengenai rayuan tiga rakyat Malaysia iaitu Syzlin, Nor Suzanna dan Azimah meminta ihsan orang ramai membantu membawa mereka pulang.

Shyzlin merengkuk dalam penjara lebih empat tahun kerana menyeludup dadah dan ditempatkan di sebuah gereja negara itu selepas kesihatannya terjejas.

Shyzlin yang ditemubual menitiskan air mata memohon individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sesiapa saja menghulurkan bantuan supaya dapat menemui semula keluarga yang lama terpisah.

Shyzlin, 43, mangsa sindiket pengedaran antarabangsa yang menjadikannya keldai dadah, bagaimanapun meninggal dunia kerana komplikasi beberapa penyakit selepas dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

Dia yang dipenjara dan terkandas di negara itu sejak lapan tahun lalu, berasal dari Johor, menghidap beberapa penyakit termasuk asma dan kencing manis.

Kira-kira AS$6,000 diperlukan, jika Shyzlin Hathaman yang meninggal dunia dalam rawatan hospital di Lima, Peru, mahu dikebumikan di negara itu.

Shaan berkata, dia dimaklumkan kematian saudara arwah isterinya itu menerusi panggilan diterima daripada Pejabat Kedutaan Malaysia di Peru pada 2 petang semalam.

"Pihak kedutaan memaklumkan kematian Syzlin dan sedang membantu menguruskan apa yang patut.

"Harapan kami, kalau boleh dapat diusahakan membawa jenazahnya ke Johor Bahru seperti wasiat arwah isteri untuk sepupunya itu," katanya yang memaklumkan arwah membesar di Stulang Darat.

Terdahulu usaha wartawan mendapatkan ahli keluarga arwah di Kampung Melayu Majidi gagal berikutan ibu saudaranya, Rubiah Abdullah dikatakan tinggal di Larkin Jaya.

Usaha diteruskan bagi menjejak kediaman sepupunya, Norabdah, di Jalan Kenari, Larkin Jaya, juga tidak berhasil apabila wanita itu dilaporkan baru saja meninggal dunia pada 23 September lalu akibat sakit jantung.

Ibu saudara Syzlin, Jamilah Yusof, 60, turut meninggal dunia sehari sebelum itu pada jam 8.30 malam akibat sakit tua di Kuala Lumpur.

Ikhtiar menemui keluarga Syzlin diusahakan dengan bantuan Pengerusi Kebajikan Parlimen Johor Bahru merangkap Pengerusi Ehsan Penyayang, Faridah Mustafa yang sebelum ini pernah membantu dalam usaha menemukan waris.

Faridah berkata, kali terakhir dia dapat menghubungi arwah pada awal tahun ini dan Syzlin mengharapkan bantuan keluarga bagi menampung keperluan sara hidupnya dengan menumpang di sebuah gereja.

"Dia juga berharap usaha membawanya pulang ke negara ini dapat dilakukan selepas selesai menjalani parol yang berakhir Mei lalu.

"Sepanjang tempoh itu, Rubiah banyak membantu sepanjang Syzlin di situ, selain mengharapkan anak saudaranya itu dapat dibawa pulang mengikut perancangan," katanya.

Niat Norabdah serta dua ibu saudaranya, Rubiah dan Jamilah supaya Syzlin dapat tinggal bersama mereka di Larkin Jaya bagaimanapun tidak termakbul berikutan dua daripadanya meninggal dunia September lalu.

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 9:57pm
d