mutakhir

Ajal balik rumah

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Kuantan: Seorang pemandu lori roti yang dalam perjalanan pulang ke rumah terbunuh apabila kereta Proton Wira dipandunya hilang kawalan lalu terbabas dan bertembung lori tanpa muatan di Jalan Bukit Goh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.51 malam, mangsa Mohd Arif Harun, 35, berasal dari FELDA Bukit Goh, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduknya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Mohd Noor Yusof Ali berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan dan bertembung kenderaan berat itu yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala isteri bersama anak serta anak saudaranya dikeluarkan orang awam dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk mendapatkan rawatan,” katanya, semalam.

Beliau berkata, pemandu lori berusia 40 tahun itu patah kaki manakala tiga ahli keluarganya hanya cedera ringan dan dikejarkan ke HTAA untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota serta Kuantan yang tiba di tempat kejadian mengambil masa hampir setengah jam untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

“Siasatan turut mendapati, kejadian itu berlaku di laluan lurus namun gelap kerana tiada lampu jalan manakala keadaan cuaca baik.

“Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurutnya, jenazah mangsa dituntut ahli keluarganya selepas bedah siasat dijalankan di HTAA, malam kelmarin.

Disiarkan pada: October 9, 2017 @ 9:13am
d