mutakhir

'Ibu bapa perlu ikut jadual imunisasi'

Oleh Siti Fatimah Hassan

Putrajaya: Kelompok antivaksin perlu sedar tindakan mereka menyebabkan anak masing-masing berdepan komplikasi jangkitan terutama ketidaksuburan bagi anak lelaki akibat penyakit mumps atau beguk selepas 11 pelajar dilaporkan mengalaminya di Putrajaya, pada 25 Julai lalu.

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (PERDIM) Dr Zubaidi Ahmad berkata, setiap ibu bapa perlu mengikut jadual imunisasi dan mendapatkan vaksin tiga serangkai yang bermula pada umur satu tahun, sekali gus dapat mengatasi anak mereka daripada dijangkiti penyakit beguk.

Bagaimanapun, katanya, ada juga kes jangkitan berlaku apabila kanak-kanak terbabit tidak memberi respon atau tindak balas terhadap vaksin menyebabkan tubuh mereka tidak menghasilkan antibodi.

“Kanak-kanak pada umur satu tahun diberikan vaksin tiga serangkai dan penyakit ini boleh diatasi dengan vaksin itu. Terdapat komplikasi yang boleh berlaku akibat penyakit ini seperti ketidaksuburan dalam kalangan kanak-kanak lelaki namun ia jarang berlaku.

“Lazimnya, penyakit ini boleh sembuh dalam tempoh seminggu hingga dua minggu tetapi ia juga boleh menjadi serius,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini, semalam.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam dilaporkan berkata kegagalan ibu bapa menghantar anak mereka menjalani program imunisasi Kementerian Kesihatan dikhuatiri menjadi punca penularan penyakit beguk atau mumps dalam kalangan murid.

Beliau berkata, walaupun jumlah penyakit itu menurun, dari semasa ke semasa ia masih berlaku di negara ini.

Dalam kejadian itu, semua mangsa terdiri daripada murid Sekolah Kebangsaan 11(2) Presint 11, berada dalam keadaan stabil serta mendapat rawatan pesakit luar.

Selain itu, Zubaidi menasihatkan ibu bapa supaya terus bersemuka dengan doktor sekiranya meragui vaksin dan bukan hanya mempercayai maklumat tidak sahih yang tersebar khususnya di laman sosial.

Berita berkaitan

Ibu bapa gagal hantar anak jalani imunisasi punca penyakit beguk kembali

Disiarkan pada: October 9, 2017 @ 9:40am
d