mutakhir

'Anak mak cik terjun tak timbul'

Oleh HM Digital

Kuantan: “Dia anak sulung daripada empat beradik yang menjadi harapan keluarga, namun takdir Allah SWT menentukan segalanya,” kata Koperal Fatimah Awang, 44, ibu kepada Muhammad Ashraf Amran, 19, dari Flat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur yang ditemui lemas selepas mandi bersama lapan rakan di tingkat satu Air Terjun Berkelah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mayat pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Semambu, di sini, ditemui pasukan penyelamat selepas tiga jam menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Fatimah yang bertugas di Jabatan Pengurusan Bukit Aman berkata, dia mendapat tahu kejadian itu pada jam 5 petang sebelum bergegas ke Kuantan dari Kuala Lumpur untuk mengetahui kejadian sebenar.

“Rakan arwah dikenali Yasmin menghubungi saya dan memberitahu ‘anak mak cik terjun dah setengah jam tak timbul’ menyebabkan terdetik di hati saya sesuatu perkara buruk berlaku,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, ketika tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, pada jam 10 malam kelmarin, dia tidak dapat menahan sebak selepas melihat jenazah anaknya, namun reda dan menganggap ia ujian Allah SWT.

Beliau berkata, kali terkahir dia bertemu arwah yang pulang ke Kuala Lumpur pada cuti semester kira-kira dua minggu lalu.

“Arwah meminta saya masakkan makanan kegemarannya iaitu ayam masak merah dan dia menikmati hidangan itu dengan penuh selera,” katanya.

Fatimah berkata, arwah tidak menunjukkan perubahan pelik kecuali dalam tempoh dua minggu bercuti itu Muhammad Ashraf banyak meluangkan masa bersama keluarga berbanding sebelum ini asyik bersama rakan.

Katanya, jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, jam 12 tengah hari semalam.

Disiarkan pada: October 9, 2017 @ 10:43am
d