mutakhir

'Dah dua kali dahan pokok patah'

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Kejadian dahan pokok patah di lokasi yang meragut nyawa pemandu dan pelajar Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit (SBPIBR) di Kampung Mengabang Lekor, di sini, sudah beberapa kali berlaku.

Bagaimanapun, kejadian sebelum ini tidak meragut nyawa tetapi pernah menyebabkan kecederaan kepada seorang pelanggan kedai makan selain pernah jatuh di atas jalan raya hingga menyebabkan ada pengguna motosikal terbabas.

Selain itu, dahan pokok sama yang meragut dua nyawa itu sudah beberapa kali patah dan menimpa kedai runcit yang terletak di belakangnya hingga menyebabkan pemilik premis itu menanggung kerugian.

Menurut Salmah Muda, 54, sudah dua kali dahan pokok yang terletak di depan kedai runcit miliknya patah dan menimpa premisnya itu.

“Biasanya ia berlaku ketika hujan serta ribut terutama apabila musim tengkujuh dan sebelum ini dahannya patah dan menimpa bahagian depan kedai.

“Saya dan ahli keluarga bernasib baik kerana tidak berada di dalam kedai ketika kejadian tetapi perlu mengeluarkan modal bagi membaiki kerosakannya. Tak sangka pula semalam (kelmarin) ia patah dan menimpa kenderaan hingga meragut dua nyawa,” katanya yang sudah mengusahakan kedai runcit berkenaan sejak 17 tahun lalu.

Salmah berkata, di dalam kedai runcitnya ketika itu sebelum terdengar bunyi dahan patah disusuli bunyi kuat.

“Saya bergegas keluar dan melihat dahan pokok itu menghempap dua kenderaan sebelum penduduk yang berada di tempat kejadian menghubungi pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“Penduduk kampung cuba membantu tetapi gagal memandangkan dahan besar pokok itu berada di atas dua kenderaan itu.

“Saya tidak berani melihat dan mendekati kenderaan itu sebelum semua mangsa dikeluarkan anggota bomba yang tiba tidak lama selepas dihubungi,” katanya.

Penduduk kampung itu, Mohd Khana Mat Nor, 39, berkata, pokok yang berada di tepi jalan Kampung Mengabang Lekar itu didakwa sudah ditanam sejak 1990.

Beliau berkata, dalam tempoh itu, sudah beberapa kali dahannya patah terutama apabila ketika angin kuat di musim tengkujuh.

“Ada juga kejadian berlaku bukan pada musim tengkujuh tetapi kebiasaannya penduduk bimbang untuk lalu jalan ini ketika musim tengkujuh,” katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2017 @ 10:45am
d