mutakhir

Prasarana bertaraf global

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Kubu Bharu: Umpama infrastruktur universiti bertaraf antarabangsa. Itu yang boleh digambarkan tahap fasiliti tahfiz Darul Quran (DQ) milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Institusi itu bukan saja mempunyai fasiliti mirip universiti, malah pelbagai kemudahan disediakan termasuk mendapat pengiktirafan ISO dalam pengurusan kualiti.

Selain itu, aspek keselamatan sememangnya menjadi fokus utama apabila ditempatkan pegawai kejuruteraan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan penilaian daripada pelbagai aspek terutama elektrik.

Tinjauan Harian Metro di DQ JAKIM mendapati semua fasiliti, aspek penggera kebakaran dan pelbagai lagi peralatan diselenggara dengan baik untuk mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku.

Timbalan Pengarah (Akademik) DQ JAKIM, Kuala Kubu Bharu, Mohd Norizan Abd Ghani berkata, aspek keselamatan sememangnya menjadi fokus utama selain daripada penyelenggaraan fasiliti sedia ada.

“Kita mempunyai jawatankuasa keselamatan yang bersidang setiap tiga bulan sekali di peringkat JAKIM. Ketika mesyuarat itu, kita akan lihat semula atau bangkitkan isu berkaitan keselamatan ini.

“Kami juga di DQ sangat menitikberatkan soal penggunaan barangan elektrik terutama bagi pelajar. Oleh itu, kita gunakan sistem mirip universiti.

“Setiap barangan atau perkakasan elektrik mesti didaftarkan dengan pihak pengurusan DQ dan kita kerap melakukan pemeriksaan mengejut di bilik. Jika ada penyambungan elektrik yang tidak dibenarkan, kita rampas,” katanya.

Mohd Norizan berkata, dalam hal itu, pihak pengurusan DQ sangat tegas dan tiada kompromi kerana perkara seperti litar pintas boleh dielakkan jika pengawasan dilaksanakan dengan baik.

Beliau berkata, pihak pengurusan turut bekerjasama rapat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) untuk melakukan penilaian semula terhadap alat penggera kebakaran untuk satu tempoh tertentu.

“Kita perlu faham setiap bangunan ini atau peralatan penggera kebakaran ini perlu dinilai semula sama ada ia berfungsi atau tidak dalam satu tempoh masa. Untuk tujuan itu, kita memanggil JBPM untuk melakukan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan itu, JBPM akan mengemukakan laporan dan kita akan bertindak atas laporan berkenaan. Jika membabitkan peruntukan dana, kita akan mengadakan mesyuarat dengan jawatankuasa tertentu di JAKIM,” katanya.

Sebagai persediaan, menurutnya, pihak pengurusan turut mengadakan latihan kebakaran sebagai pendedahan kepada pelajar bersama JBPM.

Disiarkan pada: October 9, 2017 @ 11:00am
d