mutakhir

Semakan inkues kematian banduan ditolak

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

MAHKAMAH Tinggi Seremban, hari ini, menolak permohonan semakan semula inkues kematian seorang tahanan di lokap Balai Polis Tampin, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Muhammad Jamil Hussin memutuskan untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Koroner sebelum ini berhubung kematian PV Karuna Nithi, 42, yang berpunca daripada kecederaan akibat serangan anggota polis serta tahanan lain.

"Keputusan dibuat selepas menyemak rekod prosiding inkues sebelum ini selain mempertimbangkan hujah dikemukakan peguam mewakili keluarga mangsa dan peguam mewakili Majlis Peguam.

"Saya meneliti dan mempertimbangkan fakta berkaitan dan mendapati tiada kekhilafan dalam keputusan dibuat oleh Mahkamah Khas Koroner dalam inkues, dua tahun lalu," katanya.

Permohonan semakan semula terbabit difailkan Ketua Unit Pendakwaan Negeri Sembilan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Pada 28 Januari 2015, Mahkamah Khas Koroner membuat keputusan kematian Karuna Nithi berpunca daripada 49 kecederaan akibat serangan fizikal, penderaan dan tindakan tidak mengikut undang-undang oleh orang tidak diketahui termasuk polis dan tahanan lain.

Selain itu, polis juga didapati tidak memberi perhatian perubatan sewajarnya apabila mangsa memerlukannya sekali gus mendorong kepada kematiannya.

Keputusan itu dibuat Koroner Datuk Jagjit Singh Bant Singh selepas berpuas hati dengan fakta serta keterangan 44 saksi sepanjang prosiding inkues kematian mangsa di lokap Balai Polis Tampin pada 1 Jun 2013.

Keputusan inkues berbeza dengan keputusan bedah siasat sebelum ini yang menyatakan punca kematian mangsa adalah disebabkan masalah hati.

Disiarkan pada: October 9, 2017 @ 4:33pm
d